3 Jul 2011

DENDAM.

Matanya tajam merenung lelaki bengis yang sedang asyik makan dengan lahap itu. Perlahan dia menelan airliurnya sendiri. Kecur!, itulah yang dirasakannya. Namun dia sepertimana kanak-kanak lain hanya menelan air liur sendiri. Mereka tidak akan pernah dan tidak mungkin sama sekali akan menikmati makanan seenak yang dilahap oleh lelaki berwajah bengis itu. Sudahlah lahap dan gelojoh, sesekali dia akan memaki hamun sendiri apabila pemain bola pujaannya tidak beraksi seperti yang diharapkan olehnya. Rumah banglo tua di pinggir kota itu sudah lama menjadi penjara bagi dia dan hampir sepuluh lagi kanak-kanak lain. Dia tidak ingat sudah berapa  lama dia menjadi hamba lelaki berwajah bengis dan pelahap itu. Apa yang dia tahu sudah bertahun dia menjadi budak-budak suruhan lelaki tersebut. Mereka sama ada di paksa menjadi pengemis jalanan atau menjadi budak 'penghantar barang'. Mula-mula dia tidak tahu apa yang terpaksa dihantarnya saban waktu malah secara sulit dan penuh misteri itu. Namun setelah agak lama menjadi 'budak penghantar' tersebut akhirnya dia tahu juga apakah barang yang kerap dihantarnya itu.
"Apa tengok-tengok?" tiba-tiba lelaki berwajah bengis itu mengherdik. Matanya bulat mencerlung menatap wajah kanak-kanak yang comot dan berbau penguk itu.
Budak itu terkebil-kebil sahaja apabila diherdik demikian. "Kau nak ke?" dia menyoal sambil menayangkan sepotong peha ayam golek yang hampir separuh luak dihunggisnya itu.
Budak yang tercegat memerhatikannya itu mengangguk laju. Dia ketawa terbahak-bahak sehingga tersembur isi ayam yang belum begitu lumat dimamahnya itu itu. "Nah! ambilah.." dia mengunjukkan peha ayam tersebut sambil menggoyang-goyangkan peha ayam  itu di hadapan biji mata kanak-kanak tersebut. Jelas mata budak  tersebut berlarian sama laju menatap goyangan peha ayam tersebut. Sebaik sahaja tangan kecil itu mahu mengambil peha ayam tersebut dengan kasar lelaki itu menendang dada budak lelaki tersebut sehingga  terlentang ke lantai simen.
"Berambus!, anak haram jadah'' hamunnya tanpa perasaan. Jelas belas ehsan sudah lama mati dari jiwa manusia berwajah bengis dan pelahap itu. Kemudian dia menyambung semula makan malamnya tanpa sedikitpun menoleh ke arah kanak-kanak yang di tendangnya tadi.
"Bodoh!, kan aku dah cakap kau buat muka satu sen pun dia takkan kesian dengan kaulah" Mamat mengomel setelah Dolah kembali ke bilik kecil yang menempatkan mereka tidur.
Dolah memegang dadanya yang senak. Hampir mahu patah rasanya tulang dadanya akibat penendang percuma tadi. "aku cuba nasib, mana tahu dia kesian" Dolah cuba mempertahankan tindakan bodohnya cuba buat muka kesian tadi. Sumpah, memang dia kecur amat melihat lelaki merangkap ketua mereka itu makan tadi. Sudah lama rasanya dia tidak makan ayam golek. Menyebutnya sahaja sekarang sudah terasa banjir airliurnya mahu tumpah.
"Huh!, Ben mana tahu kesian orang. Lagi-lagi muka kita. Kalau dia tak fikir kita ni masih boleh jadi abdi percuma. Silap-silap dah lama kita masuk kubur takde nisan tahu?" Mamat menyahut. Dia yang paling tua di sini. Dan dia juga sudah terlalu arif dengan segala rentak kumpulan kecil mereka itu. Mamat masih ingat sepanjang beberapa tahu dia mengikut Ben ini sudah tidak terkira lagi rumah yang mereka duduki. sudah tidak terkira juga tempat yang mereka jelajahi.
Dolah merenung wajah budak lelaki berambut kerinting, bertubuh kurus kering dan berkulit hitam itu. "Kenapa kau tak lari bila ada peluang?" soal Dolah tiba-tiba. Ya dia tahu Mamat budak lama, malah dia juga ketua kumpulan mereka. Malah Ben mempercayai Mamat untuk memegang 'barang' kalau ada urusan jual beli.
Mamat merenung wajah Dolah. Budak baru yang Ben kutip di lorong belakang itu kelihatan sedikit berbeza berbanding budak-budak lain. Dolah dilihatnya agak berani malah kelihatan lebih menentang berbanding yang lain-lain. Namun Mamat tahu juga, budak-budak lain yang Ben kutip itu itu pun sudah macam kain buruk. Mereka akan buat apa sahaja seperti kerbau dicucuk hidung. Maklumlah walaupun umur mereka muda belia, sayang mereka semua sudah menjadi tahi 'gam'. Untuk upah setin gam juga mereka sanggup menyembah kaki orang meraih simpati.
Mamat jungkit bahu. Dia juga tidak tahu apa sebabnya. Dia bukan penagih 'gam' macam budak-budak lain. Malah sesekali dia akan terlepas juga dari perhatian Ben. Dia boleh lari kalau dia mahu. Namun dia juga tidak tahu mengapa dia perlu bertahan. Di layan seperti anjing kurap oleh Ben juga dia tidak kisah. Namun dia tahu satu perkara, dia mulai suka dengan kehidupannya itu. Dia sedang belajar apa yang dilakukan oleh Ben. Ya, dalam kepalanya sudah mula bercambah keinginan mahu menguasai Ben. Dia terpesona setiap kali melihat lambakan ringgit setiap kali urusniaga Ben berjalan lancar. Dia mahu menjadi jauh lebih hebat dari Ben. dan dia tahu dia akan melakukannya suatu masa kelak. Mamat menyungging senyuman.
Dolah hanya terkebil-kebil melihat Mamat yang sedang tersenyum lebar itu. 'Gila!' getusnya sendiri.
"Dolah baik kau tidur, besok kalau kau lambat bangun macam selalu, aku tak tahu kalau kali ni Ben pijak kau!" amaran perlahan namun berupa arahan tegas menyelinap masuk ke telinga Dolah.
Dolah buat tidak faham. Namun memikirkan rasa sakit akibat tendangan percuma dari Ben tadi membuatkan Dolah memaksa matanya untuk tidur. Untuk masa terdekat ini dia tidak sanggup kalau kena pijak dengan Ben. Seksa benar badan menanggung.
Di luar kedengaran bunyi sorakan kuat bergema. Jelas bunyi pekikan 'gol'  bergema dalam rumah banglo buruk tersebut. Mamat geleng kepala sahaja. Dia juga perlu tidur. Esok akan bermula rutin mereka macam biasa. Kata Ben tadi bos besar mahu datang. Ben tahu maksud 'bos besar' itu. Cuma dia tidak tahu apa urusan yang akan mereka lakukan. Ben tidak mahu tahu. Dia hanya mahu melalui hari-harinya macam biasa namun tetap berada pada rancangannya. Ada dendam yang perlu dilunaskan nanti....

BERSAMBUNG...

Ngee...aku tak tahulah nak buat novel atau nak buat cerjang, atau nak buat cerpen. Kepada teman-teman please...komen. Adakah ia sesuai ditamatkan dengan ringkas atau dipanjangkan...h