31 Dis 2011

OMBAK RINDU.

Ombak rindu, sebuah filem yang diangkat dari sebuah novel karya kak Fauziah Ashaari. Membaca komen-komen penonton dan pengkritik filem, mereka mengakui bahawa novel-novel melayu memang boleh diangkat menjadi naskhah yang sangat hebat jika digarap dengan baik. Watak Izzah yang dibawakan oleh Maya Karin juga tidak menghampakan. Menyebut tentang novel Ombak rindu sendiri novel ini pernah menjadi 'best sellers'. Malah tidak keterlaluan ketika membacanya ramai yang turut tersentuh dengan perjalanan hidup Izzah.

Bagi saya sendiri, sebenarnya pengalaman membaca buku dan menikmati karya melalui bentuk visual memang berbeza. Membaca kita terpaksa bekerja keras untuk menjalinkan watak dan mengambarkan persekitaran demi menghayati sesebuah cerita. Secara jujurnya bagi pembaca, menikmati hasil penulisan ibarat mengembara ke minda penulisnya!. Ia sesuatu yang hebat dan pengalaman yang sangat menakjubkan. Anda boleh mencipta persekitaran yang anda mahukan melalui membaca. Bagi mereka yang kaya imaginasi, membaca bukan sekadar membaca, sebaliknya membaca adalah gerbang ke dunia yang lain.

Sebaliknya melihat di dalam bentuk visual, kita telah dihidangkan dnegan plot, dan kisah yang digarap melalui kaca mata pengarah dan dizahirkan pula oleh pelakon-pelakonnya. Tanpa perlu berfikir tentang bentuk visual yang kita mahukan, menonton di dalam bentuk visual hanya memerlukan kita memahami isi cerita. Jadi mengadaptasi sebuah kisah dari bentuk novel ke bentuk visual layar lebar berdurasi tidak sampai dua jam memang suatu kerja yang sangat sukar!.

Mungkin bagi mereka yang berjiwa kreatif apa sahaja akan menjadi sentuhan magis!. Namun pendapat saya, sekiranya naskhah asli itu sendiri memang mengagumkan, tidak mustahil mengadaptasinya menjadi sesuatu yang sangat mengasyikkan. (Mungkin ini perasaan pengarah filem OMBAK RINDU). Ini pendapat saya sahaja, tetapi sebuah kerja yang bagus tentulah menghasilkan kualiti yang setanding bukan?.

Saya hanya mewakili pandangan sendiri. Namun bagi saya dunia penulisan tanahair memang sepatutnya sudah lama menjadi perhatian para penerbit filem atau drama kerana lambakan novel di pasaran sekarang saya akui sangat baik berbanding beberapa tahun lalu. Mungkin lima belas tahun lalu. Para penulis muda dengan idea segar dan kreatif, mereka semua wajar diberikan perhatian untuk menghasilkan karya yang hebat dan bermutu pada masa akan datang.

Bagi penulis angkatan lama yang tentunya sentiasa tampil dengan karya bermutu, segar dan matang saya sangat tabik dengan mereka semua kerana mampu menyediakan naskhah hebat buat pembaca yang inginkan sentuhan yang berbeza. Saya menghargai setiap karya kerana ia jerih perih yang patut dihargai. Seketika jika mahu bersembunyi, maka pilihlah dengan membaca. Pasti anda akan bertemu tempat persembunyian paling sempurna. (Terlebih imaginasi :D ).

Okay semua, cukuplah saya merapu hari ini ya.
Assalamualaikum.








17 Okt 2011

Sakit!!!!.

Bila sakit hati pun rasa tak best. Rasa nak marah ada. Rasa geram ada. Rasa kecewa ada. Yang nyata semua orang kebanyakannya tak suka sakit. Pernah saya mendengar satu pepatah. Duit anda boleh cari. Namun kesihatan itu paling berharga. Namun di dalam dunia materialistik ini saya tekankan mungkin duit bukan segala-galanya, tetapi segalanya sekarang sangat memerlukan duit waima untuk membeli kesihatan yang baik.


Nilai yang sepadan bagi semua yang ingin kita hajati termasuk kesihatan memang sangat mahal. Selain memerlukan deretan menu berkhasiat baik dari pembinaan fizikal yang cemerlang, keperluan rohani juga perlu diambil kira. Sukar betul nak ketepikan niat buat kerana pencipta semata-mata apabila soal wang masuk campur kan. 


Sakit bukan setakat sakit kepala yang boleh lega dengan dua biji panadol. Sakit baik kronik atau tidak apabila ia menimpa kita, situasi yang perlu dipertimbangkan adalah sabar dan berusaha untuk sembuh, atau tidur dan kemudian berharap apabila kita bangun ia akan hilang begitu sahaja atau kita naik angin apabila sakit yang diharapkan sembuh itu semakin parah. Ada orang boleh terima ada orang tidak langsung boleh terima. Sesungguhnya sakit atau jatuh sakit memanglah sesuatu yang bersifat menyeronokkan untuk diteroka atau dicuba.


Jatuh sakit pengalaman yang langsung tidak menarik kan. So, kes sakit aku skang buukan sakit kepala, sakit kronik ke apa, tapi sakit hati, sakit dada, sakit nak mengamuk pun ada. He..he...citer kat atas gempak ajelah kan. Yang penting..sakit memang tak best langsung!!!!!. Baik sakit dalam jiwa atau sakit tubuh badan. kesannya tetap boleh bikin kepala ting tong!.

11 Okt 2011

Assalamualaikum...........


Hurm...apa ek nak update....aduh....banyak menda kat otak, serabut serabai togeh semua macam tengah tumbuh dalam kepala. Hu..hu....


Baru lepas majlis pernikahan adik. Alhamdulillah dah pun selamat. Pengantin pun dah selamat bertolak untuk honeymoon kat langkawi. He..he..nak ceritalah..skang ni wat majlis kahwin macam rm20k ni wat majlis kecik2 aje...huwahhhhhh....nak wat grand kapak..kata orang kena 50k la kot baru riang ria. Kalau pengantin ekonomoney..takyah la berangan nak wat segala bagai. Nanti lepas kahwin konpom ada yang menangis sebab bayo loan kahwin x habis2. 


He..he...nak update cerita tak ader idea, kepala ni kalau ada partion kat dalam tu agaknya lah..tah berapa banyak dia punya partion. Fuh...!!!!.


Okaylah...berentilah kat sini jap...he..he..InsyaAllah..jika diberi keizinan untuk menulis lagi kita akan bertemu lagi...Assalamualaikum semua.

8 Jul 2011

DENDAM sambungan.

Mamat tersentak apabila pagi itu ketika bangun dari tidur lapan budak-budak lain yang sebilik dengannya tidak ada. Kemana mereka?, persoalan itu berlegar dibenaknya. Selalunya mereka tidak akan bergerak ke mana-mana sehingga Ben menyuruh mereka masuk ke dalam van untu dihantar ke arah destinasi yang ditetapkan oleh Ben sendiri untuk mencari mangsa.
Dia menoleh sebelah kirinya. Dolah masih tidur lena. Mamat tarik nafas lega. sekurang-kurangnya Dolah masih ada. Mamat teringat perbualan Ben beberapa hari lepas. Segera dia teringat tentang hal menjual budak-budak tersebut. Mamat garu kepalanya sendiri. Benarkah budak-budak itu sudah dijual?. Siapa yang beli mereka? Mamat mula terasa sesak memikirkan soalan yang berlegar dibenaknya itu.
"Dolah bangun.." Mamat menggerakkan tubuh kurus kering disebelahnya itu.
"Huh...jangan kacaulah.." dia mendengar Dolah mengomel.
"Hoi!, bangunlah, kawan-kawan kita dah tak ada ni.." Mamat masih tidak putus asa mengejut Dolah. Memang Dolah paling liat bangun walaupun tidur awal. Kalau tidak kena siram air, selalu sahaja punggung tidak berdaging itu disepak botak, atau cicak kubin yang biasa menjadi tukang kejut mereka. Nanti barulah dia akan terpisat-pisat bangun dengan muka terpinga-pinga. Kadangkala Mamat terfikir Dolah itu bertulang besi agaknya. Tahan sungguh kena sepak begitu.
Hampir sepuluh minit dia menggunakan pelbagai cara mengejut Dolah. Sudahnya dia juga menyepak punggung Dolah seperti yang kerap dilakukan oleh cicak kubin atau botak. Setelah disepak barulah Dolah bangun terpinga-pinga macam biasa. Mahu tergelak pula Mamat memikirkan kebiasaan bertahun itu akhirnya seperti menjadi satu rutin buat Dolah.
"Apa? apasal kau kejut aku awal-awal ni?" Dolah bertanya sambil menguap-nguap. Jelas dia masih mengantuk. Memang awal, sebab entah kenapa dia terkejut bangun walaupun tidak digerakkan oleh sesiapa.
"Kau tengok keliling, apa yang pelik?" Mamat menyoal Dolah.
Dolah yang masih menguap-nguap itu memerhatikan sekeliling dengan mata kuyu. "Mana ada apa-apa.." Dolah bersuara separuh mamai. Dia hampir mahu merebahkan tubuhnya semula di atas lantai simen tersebut apabila Mamat tunduk mencangkung di hadapannya.
"Kau tengok betul-betul" Mamat menyuruh sambil mencekak muka Dolah supaya dia memerhatikan sekeliling.
Seketika Dolah menurut gerakan tangan Mamat yang sedang mencekak mukanya itu. Kemudian baru dia sedar apa yang sedang dimaksudkan oleh Mamat.
"Eh..mana dia orang semua?" mata Dolah tiba-tiba sahaja terbuka luas.
"Syhh..." Mamat hampir menekup mulut Dolah. Keadaan di luar masih diselimuti kegelapan. Namun Mamat tahu tentunya ia sudah hampir mahu siang. Mamat meneka sebab  sayup-sayup dia mendengar suara pelik dari sebuah bangunan yang indah. Dulu dia mendengar Ben menyebut itu masjid. Tempat orang sembahyang. Mamat tidak tahu maksudnya dan tidak pernah terfikir mahu ambil tahu. Apa yang dia tahu apabila mendengar bunyi pelik itu hari sudah hampir mahu siang.
Mamat bangun, dia memutar tombol pintu, jelas tombol tersebut tidak berkunci. Perlahan dia menarik daun pintu dan menguaknya. Dolah mengekor dibelakangnya dengan senyap. Di tingkat bawah Mamat mendengar sesuatu. Dengan langkah perlahan Mamat menapak turun. Tingkat bawah gelap. Hanya lampu luar menyala. Kemudian dia mendengar suara berbual perlahan. Mamat cuba memasang telinga.
"Untung besarlah Bos kita. Kau fikir untuk satu kepala budak-budak ni entah berapa duit masuk" Mamat mendengar walaupun butir-butir perbualan itu perlahan sahaja.
"Dia untunglah, ni kita macam kerbau buat kerja dia" terdengar rungutan tidak puas hati. Mamat cuba meneliti, jelas ia bukan suara Botak atau Cicak kubin.
Mamat cuba mengintai lebih rapat dengan pintu. "Botak itu lagi dua ekor nak ambik juga ke?" terdengar suara menyoal. Jelas Botak dan Cicak kubin ada cuma mereka juga ada kerja sendiri.
"Ben kata budak dua ekor tu dia nak simpan" terdengar jawapan Botak.
"Ben nak buat apa?" soal suara yang Mamat tidak pasti siapa.
"Kau tanyalah dia sendiri!" jelas terdengar suara kurang senang Botak menjawab.
Kemudian suara perbualan itu mati begitu sahaja. Mamat cuba mengintai dari celah pintu. Jelas dia melihat ada empat orang di luar sedang memikul guni masuk ke dalam belakang Van. Mamat cuma kenal Botak dan Cicak kubin sahaja. Dua lagi dia tidak tahu. Mamat meneka dalam guni-guni tersebut tentulah berisi budak-budak yang selama ini menjadi rakannya itu. Serta merta Mamat diselubungi rasa gementar. Hidup lagikah mereka semua?. Mengapa mereka dibungkus dalam guni sedemikian?.
Sebaik sahaja mereka beredar Mamat membuka pintu. Jelas jeriji luarnya sudah kemas bermangga. Patutlah bilik mereka tidur itu tidak berkunci dari luar macam selalu. Mamat cuba ke pintu belakang. Hampa, semua jeriji dan pintu jelas berkunci kemas. Rumah tersebut semakin sunyi dan menyeramkan.
"Kita kena kurung?" Dolah menyoal.
Mamat angguk. Dia terduduk kemudiannya di atas kerusi meja makan di dapur. Tidak pernah mereka ditinggal dan dikurung demikian. Ben juga tidak ada macam selalu. Kemana Ben?, mengapa dia dan Dolah tidak dibawa sekali. Semua itu hanya menyesak dan berpusar dalam kepalanya sendiri. Dolah juga terpinga-pinga.
"Aku lapar..." Dolah bersuara separuh merungut.
Mamat tahu Dolah sentiasa lapar, dia juga. Mereka sebenarnya tidak pernah kenyang. Mamat cuba menyelongkar apa-apa yang boleh dimakan. Mereka hanya menemui setin biskut lemau. Tanpa banyak soal Dolah memamahnya lahap. Mamat juga demikian. Berapa lama mereka akan ditinggalkan. Mamat tidak tahu.

6 Jul 2011

Sambungan..DENDAM.

"Lepas ni kita tak payah bela budak-budak merempat ni lagi" Mamat terdengar perbualan Ben dan dua orang lagi pembantunya. 
"Huh, bagus!, aku pun dah bosan tengok muka budak-budak ni" sahut kawannya yang berperut gendut dan berkepala botak. Mamat tahu itu Botak namanya. Nama betulnya Mamat tidak tahu. Tetapi nama gelarnya itu sudah begitu kena dengan penampilan orangnya itu.
"Bos nak buat apa dengan dia orang semua?" soal seorang lagi yang bermuka lonjong dan kurus melengkung. Mamat juga kenal dengan lelaki itu. Ben menggelarnya cicak kubin. Sepadan sungguh.
"Bos besar nak jual semua" Ben menyahut senang hati. Sudah bertahun kena membela budak-budak tersebut dia juga sudah mula bosan melayan muka-muka layu dan tidak bersemangat itu. Sudah masanya dia mengingini kedudukan yang lebih baik selain menjadi menjadi 'babysitter'. Dalam hierarki kumpulan mereka jawatan 'babysitter' adalah jawatan dikira lemah. Ben juga mahu naik pangkat. 
Mamat kebingungan sendiri mendengar perbualan Ben tersebut. Diam-diam dia naik semula ke tingkat atas. Tidak jadi dia mahu turun minum air di bawah tadi. 'Jual?' apa maksud Ben. Ini perkhabaran yang sangat membingungkannya. 
"Hoi!, kenapa?" Dolah menegurnya. Dia kehairanan melihat Mamat yang naik semula ke tingkat atas dengan wajah bingung itu. Kalau budak-budak lain Dolah tidak peduli sangat. Kalau dikira pun hampir tiap-tiap ketika muka mereka seperti muka orang dalam mimpi selalu. Tetapi Mamat lain. Mamat budak yang ada keterampilan baginya walaupun bau mereka tetap sama-sama penguk.
Mamat merenung wajah Dolah yang menantikan jawapannya itu. Setelah dua tahun sejak Dolah ada mereka memang agak rapat. Terlebih lagi Dolah yang baginya lurus itu kadangkala berani tidak menyempat-nyempat. Bukan sekali kena sepak dengan Ben, hairannya kebal pula badannya menadah sepakan percuma Ben itu. "Ben nak jual kita" Mamat menyahut perlahan. Kemudian dia duduk menyandarkan tubuhnya ke dinding bilik yang ada seribu macam bau itu. 
"Jual?" Dolah terkebil-kebil mendengarnya. Sah!, budak lurus bendul macam Dolah itu lagilah tidak faham apa yang dimaksudkan dengan 'jual' oleh Ben. 
Mamat menarik nafasnya berat. "Entahlah, nasib kita ni betul-betul macam sampah beb, orang tak suka boleh campak kita suka hati. Boleh juga bunuh kita sukahati" rungut Mamat sendiri.
Dolah yang mendengarnya terkebil-kebil. Dia cuba memahamkan rungutan Ben yang baginya sangat rumit itu. "Er..bukankah orang selalu gelar kita sampah masyarakat?" Dolah tiba-tiba sahaja bersuara.
Mamat merenung Dolah dengan mata terjegil. "Huh!, kau ni tiba-tiba cerdik kenapa?" soal Mamat sedikit terlopong sebenarnya apabila Dolah bersuara demikian.
Dolah tersengih. "Er...aku tak tahu sangatlah sampah masyarakat tu apa. Aku cuma selalu dengar orang maki aku macam tu.." lurus Dolah menerangkan.
Mamat tepuk dahi. Nyaris dia ingat Dolah terkena renjatan elektrik atau apa. Maklumlah bernas pula hujahnya tadi. "Sampah masyarakat erm..entah aku rasa macam sampah sarap lah. Kau rasa kalau sampah orang akan buang atau simpan?" Mamat soal Dolah yang merenungnya sedari tadi.
"Er...aku selalu korek sampah cari makan dulu. Er..tidur dalam tong sampah je aku tak pernah" Dolah menjawab. 
Mamat garu kepalanya sendiri. Memang gatal, sebab banyak kutu. Entah sudah berapa lama tidak bersyampoo dia tidak ingat.Jawapan Dolah itu hanya membingungkannya sahaja. Hilang soal kena jual tadi kenapa boleh melalut soal sampah pula. Kenapalah jawapan Dolah sering memeningkannya. Mamat mengeluh sendiri.
"Er jawapan aku salah ke?" soal Dolah kemudiannya setelah melihat Mamat terdiam agak lama. Jelas dia juga mahu tahu samaada jawapannya itu menepati soalan Mamat.
"Hurm...sudahlah, aku tak tahu. Kau tidurlah.." Mamat menjawab sekaligus menghampakan Dolah.
Dolah buat muka satu sen. Tidak puas hati pula dia. Yalah bukankah Mamat yang soal tadi. 
"Yalah...betul, puas hati?" Mamat akhirnya terpaksa menjawab walaupun dia sendiri tidak pasti. Kasihan pula melihat muka satu sen si Dolah itu.
Dolah tersengih. Gembira dia apabila Mamat mengiyakan jawapannya itu. Kemudian dia merebahkan badan atas simen berhabuk itu. Sebentar sahaja sudah kedengaran dengkuran nipis Dolah. Mamat kerling sekilas. Bila melihat wajah Dolah yang comot itu dia tersengih sendiri. Diam-diam dia mula sayang Dolah yang dianggap seperti adiknya itu. 
Mamat kerling budak-budak lain yang sudah lama terbongkang dibuai mimpi. Siang tadi banyak juga imbuhan minta sedekah mereka. Namun Mamat tetap kecewa, Ben tidak pernah berpuas hati. Layanannya tidak pernah manis buat budak-budak tersebut. Makanan mereka tetap serupa. Pagi sebuku roti dan segelas air kosong. tengahari nasi dan telur mata lembu. Dan malam tetap juga nasi berlauk sambal tumis kosong buta-buta. Hanya bila Bos besar turun macam kelmarin mereka merasa juga makan nasi berlauk sayur dan sedikit lauk ayam goreng. 
Mamat teringat penampilan Bos besar yang segak dan gagah itu. Dengan sut serba putih , Mamat melihat lelaki bercermin mata hitam dan berkasut kulit itu sebagai satu idola yang mengagumkan. Namun sayang dia tidak tahu apa isi perbincangan Bos besar dan Ben kelmarin. Setelah makan mereka dikunci di dalam bilik atas ini. Dan dia masih teringat juga bicara Ben tadi. Jual? dan ia benar-benar menghantui Mamat.

3 Jul 2011

DENDAM.

Matanya tajam merenung lelaki bengis yang sedang asyik makan dengan lahap itu. Perlahan dia menelan airliurnya sendiri. Kecur!, itulah yang dirasakannya. Namun dia sepertimana kanak-kanak lain hanya menelan air liur sendiri. Mereka tidak akan pernah dan tidak mungkin sama sekali akan menikmati makanan seenak yang dilahap oleh lelaki berwajah bengis itu. Sudahlah lahap dan gelojoh, sesekali dia akan memaki hamun sendiri apabila pemain bola pujaannya tidak beraksi seperti yang diharapkan olehnya. Rumah banglo tua di pinggir kota itu sudah lama menjadi penjara bagi dia dan hampir sepuluh lagi kanak-kanak lain. Dia tidak ingat sudah berapa  lama dia menjadi hamba lelaki berwajah bengis dan pelahap itu. Apa yang dia tahu sudah bertahun dia menjadi budak-budak suruhan lelaki tersebut. Mereka sama ada di paksa menjadi pengemis jalanan atau menjadi budak 'penghantar barang'. Mula-mula dia tidak tahu apa yang terpaksa dihantarnya saban waktu malah secara sulit dan penuh misteri itu. Namun setelah agak lama menjadi 'budak penghantar' tersebut akhirnya dia tahu juga apakah barang yang kerap dihantarnya itu.
"Apa tengok-tengok?" tiba-tiba lelaki berwajah bengis itu mengherdik. Matanya bulat mencerlung menatap wajah kanak-kanak yang comot dan berbau penguk itu.
Budak itu terkebil-kebil sahaja apabila diherdik demikian. "Kau nak ke?" dia menyoal sambil menayangkan sepotong peha ayam golek yang hampir separuh luak dihunggisnya itu.
Budak yang tercegat memerhatikannya itu mengangguk laju. Dia ketawa terbahak-bahak sehingga tersembur isi ayam yang belum begitu lumat dimamahnya itu itu. "Nah! ambilah.." dia mengunjukkan peha ayam tersebut sambil menggoyang-goyangkan peha ayam  itu di hadapan biji mata kanak-kanak tersebut. Jelas mata budak  tersebut berlarian sama laju menatap goyangan peha ayam tersebut. Sebaik sahaja tangan kecil itu mahu mengambil peha ayam tersebut dengan kasar lelaki itu menendang dada budak lelaki tersebut sehingga  terlentang ke lantai simen.
"Berambus!, anak haram jadah'' hamunnya tanpa perasaan. Jelas belas ehsan sudah lama mati dari jiwa manusia berwajah bengis dan pelahap itu. Kemudian dia menyambung semula makan malamnya tanpa sedikitpun menoleh ke arah kanak-kanak yang di tendangnya tadi.
"Bodoh!, kan aku dah cakap kau buat muka satu sen pun dia takkan kesian dengan kaulah" Mamat mengomel setelah Dolah kembali ke bilik kecil yang menempatkan mereka tidur.
Dolah memegang dadanya yang senak. Hampir mahu patah rasanya tulang dadanya akibat penendang percuma tadi. "aku cuba nasib, mana tahu dia kesian" Dolah cuba mempertahankan tindakan bodohnya cuba buat muka kesian tadi. Sumpah, memang dia kecur amat melihat lelaki merangkap ketua mereka itu makan tadi. Sudah lama rasanya dia tidak makan ayam golek. Menyebutnya sahaja sekarang sudah terasa banjir airliurnya mahu tumpah.
"Huh!, Ben mana tahu kesian orang. Lagi-lagi muka kita. Kalau dia tak fikir kita ni masih boleh jadi abdi percuma. Silap-silap dah lama kita masuk kubur takde nisan tahu?" Mamat menyahut. Dia yang paling tua di sini. Dan dia juga sudah terlalu arif dengan segala rentak kumpulan kecil mereka itu. Mamat masih ingat sepanjang beberapa tahu dia mengikut Ben ini sudah tidak terkira lagi rumah yang mereka duduki. sudah tidak terkira juga tempat yang mereka jelajahi.
Dolah merenung wajah budak lelaki berambut kerinting, bertubuh kurus kering dan berkulit hitam itu. "Kenapa kau tak lari bila ada peluang?" soal Dolah tiba-tiba. Ya dia tahu Mamat budak lama, malah dia juga ketua kumpulan mereka. Malah Ben mempercayai Mamat untuk memegang 'barang' kalau ada urusan jual beli.
Mamat merenung wajah Dolah. Budak baru yang Ben kutip di lorong belakang itu kelihatan sedikit berbeza berbanding budak-budak lain. Dolah dilihatnya agak berani malah kelihatan lebih menentang berbanding yang lain-lain. Namun Mamat tahu juga, budak-budak lain yang Ben kutip itu itu pun sudah macam kain buruk. Mereka akan buat apa sahaja seperti kerbau dicucuk hidung. Maklumlah walaupun umur mereka muda belia, sayang mereka semua sudah menjadi tahi 'gam'. Untuk upah setin gam juga mereka sanggup menyembah kaki orang meraih simpati.
Mamat jungkit bahu. Dia juga tidak tahu apa sebabnya. Dia bukan penagih 'gam' macam budak-budak lain. Malah sesekali dia akan terlepas juga dari perhatian Ben. Dia boleh lari kalau dia mahu. Namun dia juga tidak tahu mengapa dia perlu bertahan. Di layan seperti anjing kurap oleh Ben juga dia tidak kisah. Namun dia tahu satu perkara, dia mulai suka dengan kehidupannya itu. Dia sedang belajar apa yang dilakukan oleh Ben. Ya, dalam kepalanya sudah mula bercambah keinginan mahu menguasai Ben. Dia terpesona setiap kali melihat lambakan ringgit setiap kali urusniaga Ben berjalan lancar. Dia mahu menjadi jauh lebih hebat dari Ben. dan dia tahu dia akan melakukannya suatu masa kelak. Mamat menyungging senyuman.
Dolah hanya terkebil-kebil melihat Mamat yang sedang tersenyum lebar itu. 'Gila!' getusnya sendiri.
"Dolah baik kau tidur, besok kalau kau lambat bangun macam selalu, aku tak tahu kalau kali ni Ben pijak kau!" amaran perlahan namun berupa arahan tegas menyelinap masuk ke telinga Dolah.
Dolah buat tidak faham. Namun memikirkan rasa sakit akibat tendangan percuma dari Ben tadi membuatkan Dolah memaksa matanya untuk tidur. Untuk masa terdekat ini dia tidak sanggup kalau kena pijak dengan Ben. Seksa benar badan menanggung.
Di luar kedengaran bunyi sorakan kuat bergema. Jelas bunyi pekikan 'gol'  bergema dalam rumah banglo buruk tersebut. Mamat geleng kepala sahaja. Dia juga perlu tidur. Esok akan bermula rutin mereka macam biasa. Kata Ben tadi bos besar mahu datang. Ben tahu maksud 'bos besar' itu. Cuma dia tidak tahu apa urusan yang akan mereka lakukan. Ben tidak mahu tahu. Dia hanya mahu melalui hari-harinya macam biasa namun tetap berada pada rancangannya. Ada dendam yang perlu dilunaskan nanti....

BERSAMBUNG...

Ngee...aku tak tahulah nak buat novel atau nak buat cerjang, atau nak buat cerpen. Kepada teman-teman please...komen. Adakah ia sesuai ditamatkan dengan ringkas atau dipanjangkan...h

1 Jul 2011

Pelangi Membeku.

'Pelangi Membeku', istilah ini kuambil dari tajuk sebuah novel karya seorang motivator terkenal tanahair iaitu 'H.M Tuah Iskandar. Andainya pelangi itu dapat dibekukan, pastinya ia menjadi sebuah monumen yang sangat cantik dan indah. Pelangi adalah biasan banyak warna, namun yang kelihatan dek mata kasar kita hanya tujuh warna. Bayangkan betapa sempurnanya ciptaan Allah. Jika kita melihat pelangi dengan warnanya yang cantik itu spontan kita akan memuji 'cantiknya..' indahnya...'. Subhanallah memang itulah pujian yang akan terkeluar. Pelangi itu datang sekadar bayang-bayang. Tak mungkin kita akan dapat memilikinya sampai bila-bila. Pelangi juga datang sekadar biasan, mana mungkin kita akan dapat memegangnya. Namun kerana indahnya lantunan bahasa, maka pelangi itu bagai mungkin diraih, dipegang dan disentuh. Selalu saya mendengar kata-kata ini, 'Allah beri kita ribut, petir, hujan, malah sampai bah, namun dihujungnya Allah akan hadiahkan kita pelangi'. Begitulah yang kita lalui dalam hidup ini. Ujian, dugaan, kesusahan, airmata, kesengsaraan, jika kita redha dan sabar mengarunginya, pasti akan ada manis dihujungnya. Meski sifat pelangi itu sementara namun di saat-saat duka barangkali ia cukup menceriakan. 

Namun jangan pula asyik mengejar pelangi di kaki langit, hujungnya nanti tetap berbuahkan duka dan hampa. Sebaiknya jangan disandarkan apa-apa kepada hiasan dunia. Pelangi, harta, rupa, kemegahan, pangkat, kesihatan semuanya tetap pinjaman. Malah kehidupan kita juga sekadar pinjaman. Dan sesuatu yang bernama pinjaman ini pasti akan diambil semula sampai detik dan saatnya. Terlebih baik sandarkan sahaja keyakinan hati dan kebergantungan diri hanya kepadanya yang MAHA PENCIPTA. 

Pelangi akan terus memukau mata. Pelangi juga akan terus menjadi idaman sang manusia. Hanya jangan terlalu memuja keindahannya. Kerana suatu masa ia akan malap jua. Kerana PELANGI juga milikNYA.

29 Jun 2011

MEMETIK BINTANG.

Indahnya bintang berkerlipan di lautan langit yang luas. Saujana nata merenung, kilauannya bagai butiran berlian. Mempesona, memikat mata walau hakikatnya ia hanya sebutir batu tanpa cahaya yang menumpang kemegahan sang suria. Lihat semesta nan luas, tiada batasan, tiada sempadan, hanya Allah jua mengetahui di mana penghujungnya. Kemegahan sesuatu bersandar juga kepada sesuatu. Tiada sesuatu yang berdiri dengan sendiri melainkan dengan izinNYA. Maka DIA menyebut 'kunfayakun' maka jadilah ia. Menyebut batasan langit dan bumi, Allah berfirman "Tidak akan kamu dapat menembusi langit melainkan dengan usaha". Sesunguhnya Allah mengizinkan kita meneroka seluruh pelosok semesta tanpa sempadan ini dengan usaha juga dengan keizinanNYA.

AKU BERLINDUNG DENGAN ALLAH YANG MAHA MENDENGAR LAGI MAHA MENGETAHUI DARI GANGGUAN SYAITAN YANG TERKUTUK.


  • Dengan menyebut nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
  • Segala puji Bagi Allah, Tuhan semesta alam.
  • Maha Pemurah lagi Maha penyayang.
  • Yang menguasai hari pembalasan.
  • Hanya Engkaulah kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.
  • Tunjukkanlah kami jalan yang lurus.
  • (Iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan pula (jalan) mereka yang sesat.

AMIN....




28 Jun 2011


Tangisku jauh dalam selimut hati,
Menghiba dalam pelukan sepi,
Merintih dalam diam,
Sembunyi rasa dalam kemelut rasa,
Yang perit merantai jiwa.
Tuhanku...
Manisnya ujian ini,
Mengingatkan aku agar merenung khilaf diri,
Mengajak aku muhasabah jati diri,
Mungkin sudah lamanya aku hidup,
Lalai dek pesona dunia.
Dan sedikit kau jentikku dengan secubit getir,
Agar aku sedar 
Sesungguhnya dunia ini perhiasan....

Denai lalu.

Lihat, lorong ini dihiasi gugur daun, bunga indah berserakan.Mentari malu-malu mecelah, jelas, serakan biasan cahayanya indah bagai kemilau emas. Dalam fikiranku, jauh dalam lipatan waktu, kenangan itu tetap indah dicelah pohon, di laluan denai , disetiap helai gugur daun. Lantas setiap detik yang berlalu, kulukis setiap jeda waktu, kemas dalam kotak ingatan. Biar, musim akan berlalu, lorong sunyi akan riuh, daunan gugur akan berganti putik baru, dahan segar akan rapuh. Yang pasti di sini, kemas dalam kotak ini, lukisannya pasti sama, pasti segar dan malar.

Jika dapat kuputar waktu.

Andai dapat ku putarkan masa untuk kembali menemui silamku, barangkali aku tidak mahu. Ya aku tidak mahu. Kerana bagiku, masa lalu itulah yang telah menjadikan aku hari ini. Aku tidak pernah bencikan masa lalu, lantas untuk apa aku ingin kembali?. Masa lalu biarkan ia pergi, jauh tinggal dalam relung waktu, masa hadapan, ah...aku tidak pernah mengimpikan masa hadapan. Kerana masa hadapan itu sesuatu yang tiada siapa yang mampu meneka. Aku teringat satu bicara sufi. Perkara paling jauh yang dan jarak yang paling jauh, adalah masa lalu, perkara yang belum pasti namun kerap dikejar dan dimimpi adalah masa hadapan. Sedangkan yang kerap sekali disia-siakan adalah masa yang sedang dilalui. Manusia ini paling suka mengangankan sesuatu yang menjadi rahsia masa, sedangkan mereka kerap-kerap tidur dalam pelukan dusta. Sesungguhnya benarlah 'demi masa sesungguhnya manusia itu senantiasa dalam kerugian'. Renung-renungkan....

27 Jun 2011

Laluan ini pedih dan panjang sekali likunya. Ada ketika dalam kesendirian merenung bunga waktu, aku mengharapkan ia terus kembang dan indah bersamaku seiring waktu. Namun jalan ini tidak pernah menjanjikan mimpi terindah buatku selalu. Dalam mencari diri yang sesekali tenggelam dalam kabut kehidupan, aku sedar musim sering berubah. Cerminku tidak pernah menjanjikan biasan mulus selalu. Kerana awan kehidupan yang sedang berarak mengekoriku, sering punya waktu-waktunya untuk gerimis selalu. Namun aku tahu tidak selamanya awanku akan kelabu, kerana tiap kali pun, pasti pelangi akan tetap menemaniku.