31 Dis 2011

OMBAK RINDU.

Ombak rindu, sebuah filem yang diangkat dari sebuah novel karya kak Fauziah Ashaari. Membaca komen-komen penonton dan pengkritik filem, mereka mengakui bahawa novel-novel melayu memang boleh diangkat menjadi naskhah yang sangat hebat jika digarap dengan baik. Watak Izzah yang dibawakan oleh Maya Karin juga tidak menghampakan. Menyebut tentang novel Ombak rindu sendiri novel ini pernah menjadi 'best sellers'. Malah tidak keterlaluan ketika membacanya ramai yang turut tersentuh dengan perjalanan hidup Izzah.

Bagi saya sendiri, sebenarnya pengalaman membaca buku dan menikmati karya melalui bentuk visual memang berbeza. Membaca kita terpaksa bekerja keras untuk menjalinkan watak dan mengambarkan persekitaran demi menghayati sesebuah cerita. Secara jujurnya bagi pembaca, menikmati hasil penulisan ibarat mengembara ke minda penulisnya!. Ia sesuatu yang hebat dan pengalaman yang sangat menakjubkan. Anda boleh mencipta persekitaran yang anda mahukan melalui membaca. Bagi mereka yang kaya imaginasi, membaca bukan sekadar membaca, sebaliknya membaca adalah gerbang ke dunia yang lain.

Sebaliknya melihat di dalam bentuk visual, kita telah dihidangkan dnegan plot, dan kisah yang digarap melalui kaca mata pengarah dan dizahirkan pula oleh pelakon-pelakonnya. Tanpa perlu berfikir tentang bentuk visual yang kita mahukan, menonton di dalam bentuk visual hanya memerlukan kita memahami isi cerita. Jadi mengadaptasi sebuah kisah dari bentuk novel ke bentuk visual layar lebar berdurasi tidak sampai dua jam memang suatu kerja yang sangat sukar!.

Mungkin bagi mereka yang berjiwa kreatif apa sahaja akan menjadi sentuhan magis!. Namun pendapat saya, sekiranya naskhah asli itu sendiri memang mengagumkan, tidak mustahil mengadaptasinya menjadi sesuatu yang sangat mengasyikkan. (Mungkin ini perasaan pengarah filem OMBAK RINDU). Ini pendapat saya sahaja, tetapi sebuah kerja yang bagus tentulah menghasilkan kualiti yang setanding bukan?.

Saya hanya mewakili pandangan sendiri. Namun bagi saya dunia penulisan tanahair memang sepatutnya sudah lama menjadi perhatian para penerbit filem atau drama kerana lambakan novel di pasaran sekarang saya akui sangat baik berbanding beberapa tahun lalu. Mungkin lima belas tahun lalu. Para penulis muda dengan idea segar dan kreatif, mereka semua wajar diberikan perhatian untuk menghasilkan karya yang hebat dan bermutu pada masa akan datang.

Bagi penulis angkatan lama yang tentunya sentiasa tampil dengan karya bermutu, segar dan matang saya sangat tabik dengan mereka semua kerana mampu menyediakan naskhah hebat buat pembaca yang inginkan sentuhan yang berbeza. Saya menghargai setiap karya kerana ia jerih perih yang patut dihargai. Seketika jika mahu bersembunyi, maka pilihlah dengan membaca. Pasti anda akan bertemu tempat persembunyian paling sempurna. (Terlebih imaginasi :D ).

Okay semua, cukuplah saya merapu hari ini ya.
Assalamualaikum.








Tiada ulasan:

Catat Ulasan