8 Jul 2011

DENDAM sambungan.

Mamat tersentak apabila pagi itu ketika bangun dari tidur lapan budak-budak lain yang sebilik dengannya tidak ada. Kemana mereka?, persoalan itu berlegar dibenaknya. Selalunya mereka tidak akan bergerak ke mana-mana sehingga Ben menyuruh mereka masuk ke dalam van untu dihantar ke arah destinasi yang ditetapkan oleh Ben sendiri untuk mencari mangsa.
Dia menoleh sebelah kirinya. Dolah masih tidur lena. Mamat tarik nafas lega. sekurang-kurangnya Dolah masih ada. Mamat teringat perbualan Ben beberapa hari lepas. Segera dia teringat tentang hal menjual budak-budak tersebut. Mamat garu kepalanya sendiri. Benarkah budak-budak itu sudah dijual?. Siapa yang beli mereka? Mamat mula terasa sesak memikirkan soalan yang berlegar dibenaknya itu.
"Dolah bangun.." Mamat menggerakkan tubuh kurus kering disebelahnya itu.
"Huh...jangan kacaulah.." dia mendengar Dolah mengomel.
"Hoi!, bangunlah, kawan-kawan kita dah tak ada ni.." Mamat masih tidak putus asa mengejut Dolah. Memang Dolah paling liat bangun walaupun tidur awal. Kalau tidak kena siram air, selalu sahaja punggung tidak berdaging itu disepak botak, atau cicak kubin yang biasa menjadi tukang kejut mereka. Nanti barulah dia akan terpisat-pisat bangun dengan muka terpinga-pinga. Kadangkala Mamat terfikir Dolah itu bertulang besi agaknya. Tahan sungguh kena sepak begitu.
Hampir sepuluh minit dia menggunakan pelbagai cara mengejut Dolah. Sudahnya dia juga menyepak punggung Dolah seperti yang kerap dilakukan oleh cicak kubin atau botak. Setelah disepak barulah Dolah bangun terpinga-pinga macam biasa. Mahu tergelak pula Mamat memikirkan kebiasaan bertahun itu akhirnya seperti menjadi satu rutin buat Dolah.
"Apa? apasal kau kejut aku awal-awal ni?" Dolah bertanya sambil menguap-nguap. Jelas dia masih mengantuk. Memang awal, sebab entah kenapa dia terkejut bangun walaupun tidak digerakkan oleh sesiapa.
"Kau tengok keliling, apa yang pelik?" Mamat menyoal Dolah.
Dolah yang masih menguap-nguap itu memerhatikan sekeliling dengan mata kuyu. "Mana ada apa-apa.." Dolah bersuara separuh mamai. Dia hampir mahu merebahkan tubuhnya semula di atas lantai simen tersebut apabila Mamat tunduk mencangkung di hadapannya.
"Kau tengok betul-betul" Mamat menyuruh sambil mencekak muka Dolah supaya dia memerhatikan sekeliling.
Seketika Dolah menurut gerakan tangan Mamat yang sedang mencekak mukanya itu. Kemudian baru dia sedar apa yang sedang dimaksudkan oleh Mamat.
"Eh..mana dia orang semua?" mata Dolah tiba-tiba sahaja terbuka luas.
"Syhh..." Mamat hampir menekup mulut Dolah. Keadaan di luar masih diselimuti kegelapan. Namun Mamat tahu tentunya ia sudah hampir mahu siang. Mamat meneka sebab  sayup-sayup dia mendengar suara pelik dari sebuah bangunan yang indah. Dulu dia mendengar Ben menyebut itu masjid. Tempat orang sembahyang. Mamat tidak tahu maksudnya dan tidak pernah terfikir mahu ambil tahu. Apa yang dia tahu apabila mendengar bunyi pelik itu hari sudah hampir mahu siang.
Mamat bangun, dia memutar tombol pintu, jelas tombol tersebut tidak berkunci. Perlahan dia menarik daun pintu dan menguaknya. Dolah mengekor dibelakangnya dengan senyap. Di tingkat bawah Mamat mendengar sesuatu. Dengan langkah perlahan Mamat menapak turun. Tingkat bawah gelap. Hanya lampu luar menyala. Kemudian dia mendengar suara berbual perlahan. Mamat cuba memasang telinga.
"Untung besarlah Bos kita. Kau fikir untuk satu kepala budak-budak ni entah berapa duit masuk" Mamat mendengar walaupun butir-butir perbualan itu perlahan sahaja.
"Dia untunglah, ni kita macam kerbau buat kerja dia" terdengar rungutan tidak puas hati. Mamat cuba meneliti, jelas ia bukan suara Botak atau Cicak kubin.
Mamat cuba mengintai lebih rapat dengan pintu. "Botak itu lagi dua ekor nak ambik juga ke?" terdengar suara menyoal. Jelas Botak dan Cicak kubin ada cuma mereka juga ada kerja sendiri.
"Ben kata budak dua ekor tu dia nak simpan" terdengar jawapan Botak.
"Ben nak buat apa?" soal suara yang Mamat tidak pasti siapa.
"Kau tanyalah dia sendiri!" jelas terdengar suara kurang senang Botak menjawab.
Kemudian suara perbualan itu mati begitu sahaja. Mamat cuba mengintai dari celah pintu. Jelas dia melihat ada empat orang di luar sedang memikul guni masuk ke dalam belakang Van. Mamat cuma kenal Botak dan Cicak kubin sahaja. Dua lagi dia tidak tahu. Mamat meneka dalam guni-guni tersebut tentulah berisi budak-budak yang selama ini menjadi rakannya itu. Serta merta Mamat diselubungi rasa gementar. Hidup lagikah mereka semua?. Mengapa mereka dibungkus dalam guni sedemikian?.
Sebaik sahaja mereka beredar Mamat membuka pintu. Jelas jeriji luarnya sudah kemas bermangga. Patutlah bilik mereka tidur itu tidak berkunci dari luar macam selalu. Mamat cuba ke pintu belakang. Hampa, semua jeriji dan pintu jelas berkunci kemas. Rumah tersebut semakin sunyi dan menyeramkan.
"Kita kena kurung?" Dolah menyoal.
Mamat angguk. Dia terduduk kemudiannya di atas kerusi meja makan di dapur. Tidak pernah mereka ditinggal dan dikurung demikian. Ben juga tidak ada macam selalu. Kemana Ben?, mengapa dia dan Dolah tidak dibawa sekali. Semua itu hanya menyesak dan berpusar dalam kepalanya sendiri. Dolah juga terpinga-pinga.
"Aku lapar..." Dolah bersuara separuh merungut.
Mamat tahu Dolah sentiasa lapar, dia juga. Mereka sebenarnya tidak pernah kenyang. Mamat cuba menyelongkar apa-apa yang boleh dimakan. Mereka hanya menemui setin biskut lemau. Tanpa banyak soal Dolah memamahnya lahap. Mamat juga demikian. Berapa lama mereka akan ditinggalkan. Mamat tidak tahu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan