6 Jul 2011

Sambungan..DENDAM.

"Lepas ni kita tak payah bela budak-budak merempat ni lagi" Mamat terdengar perbualan Ben dan dua orang lagi pembantunya. 
"Huh, bagus!, aku pun dah bosan tengok muka budak-budak ni" sahut kawannya yang berperut gendut dan berkepala botak. Mamat tahu itu Botak namanya. Nama betulnya Mamat tidak tahu. Tetapi nama gelarnya itu sudah begitu kena dengan penampilan orangnya itu.
"Bos nak buat apa dengan dia orang semua?" soal seorang lagi yang bermuka lonjong dan kurus melengkung. Mamat juga kenal dengan lelaki itu. Ben menggelarnya cicak kubin. Sepadan sungguh.
"Bos besar nak jual semua" Ben menyahut senang hati. Sudah bertahun kena membela budak-budak tersebut dia juga sudah mula bosan melayan muka-muka layu dan tidak bersemangat itu. Sudah masanya dia mengingini kedudukan yang lebih baik selain menjadi menjadi 'babysitter'. Dalam hierarki kumpulan mereka jawatan 'babysitter' adalah jawatan dikira lemah. Ben juga mahu naik pangkat. 
Mamat kebingungan sendiri mendengar perbualan Ben tersebut. Diam-diam dia naik semula ke tingkat atas. Tidak jadi dia mahu turun minum air di bawah tadi. 'Jual?' apa maksud Ben. Ini perkhabaran yang sangat membingungkannya. 
"Hoi!, kenapa?" Dolah menegurnya. Dia kehairanan melihat Mamat yang naik semula ke tingkat atas dengan wajah bingung itu. Kalau budak-budak lain Dolah tidak peduli sangat. Kalau dikira pun hampir tiap-tiap ketika muka mereka seperti muka orang dalam mimpi selalu. Tetapi Mamat lain. Mamat budak yang ada keterampilan baginya walaupun bau mereka tetap sama-sama penguk.
Mamat merenung wajah Dolah yang menantikan jawapannya itu. Setelah dua tahun sejak Dolah ada mereka memang agak rapat. Terlebih lagi Dolah yang baginya lurus itu kadangkala berani tidak menyempat-nyempat. Bukan sekali kena sepak dengan Ben, hairannya kebal pula badannya menadah sepakan percuma Ben itu. "Ben nak jual kita" Mamat menyahut perlahan. Kemudian dia duduk menyandarkan tubuhnya ke dinding bilik yang ada seribu macam bau itu. 
"Jual?" Dolah terkebil-kebil mendengarnya. Sah!, budak lurus bendul macam Dolah itu lagilah tidak faham apa yang dimaksudkan dengan 'jual' oleh Ben. 
Mamat menarik nafasnya berat. "Entahlah, nasib kita ni betul-betul macam sampah beb, orang tak suka boleh campak kita suka hati. Boleh juga bunuh kita sukahati" rungut Mamat sendiri.
Dolah yang mendengarnya terkebil-kebil. Dia cuba memahamkan rungutan Ben yang baginya sangat rumit itu. "Er..bukankah orang selalu gelar kita sampah masyarakat?" Dolah tiba-tiba sahaja bersuara.
Mamat merenung Dolah dengan mata terjegil. "Huh!, kau ni tiba-tiba cerdik kenapa?" soal Mamat sedikit terlopong sebenarnya apabila Dolah bersuara demikian.
Dolah tersengih. "Er...aku tak tahu sangatlah sampah masyarakat tu apa. Aku cuma selalu dengar orang maki aku macam tu.." lurus Dolah menerangkan.
Mamat tepuk dahi. Nyaris dia ingat Dolah terkena renjatan elektrik atau apa. Maklumlah bernas pula hujahnya tadi. "Sampah masyarakat erm..entah aku rasa macam sampah sarap lah. Kau rasa kalau sampah orang akan buang atau simpan?" Mamat soal Dolah yang merenungnya sedari tadi.
"Er...aku selalu korek sampah cari makan dulu. Er..tidur dalam tong sampah je aku tak pernah" Dolah menjawab. 
Mamat garu kepalanya sendiri. Memang gatal, sebab banyak kutu. Entah sudah berapa lama tidak bersyampoo dia tidak ingat.Jawapan Dolah itu hanya membingungkannya sahaja. Hilang soal kena jual tadi kenapa boleh melalut soal sampah pula. Kenapalah jawapan Dolah sering memeningkannya. Mamat mengeluh sendiri.
"Er jawapan aku salah ke?" soal Dolah kemudiannya setelah melihat Mamat terdiam agak lama. Jelas dia juga mahu tahu samaada jawapannya itu menepati soalan Mamat.
"Hurm...sudahlah, aku tak tahu. Kau tidurlah.." Mamat menjawab sekaligus menghampakan Dolah.
Dolah buat muka satu sen. Tidak puas hati pula dia. Yalah bukankah Mamat yang soal tadi. 
"Yalah...betul, puas hati?" Mamat akhirnya terpaksa menjawab walaupun dia sendiri tidak pasti. Kasihan pula melihat muka satu sen si Dolah itu.
Dolah tersengih. Gembira dia apabila Mamat mengiyakan jawapannya itu. Kemudian dia merebahkan badan atas simen berhabuk itu. Sebentar sahaja sudah kedengaran dengkuran nipis Dolah. Mamat kerling sekilas. Bila melihat wajah Dolah yang comot itu dia tersengih sendiri. Diam-diam dia mula sayang Dolah yang dianggap seperti adiknya itu. 
Mamat kerling budak-budak lain yang sudah lama terbongkang dibuai mimpi. Siang tadi banyak juga imbuhan minta sedekah mereka. Namun Mamat tetap kecewa, Ben tidak pernah berpuas hati. Layanannya tidak pernah manis buat budak-budak tersebut. Makanan mereka tetap serupa. Pagi sebuku roti dan segelas air kosong. tengahari nasi dan telur mata lembu. Dan malam tetap juga nasi berlauk sambal tumis kosong buta-buta. Hanya bila Bos besar turun macam kelmarin mereka merasa juga makan nasi berlauk sayur dan sedikit lauk ayam goreng. 
Mamat teringat penampilan Bos besar yang segak dan gagah itu. Dengan sut serba putih , Mamat melihat lelaki bercermin mata hitam dan berkasut kulit itu sebagai satu idola yang mengagumkan. Namun sayang dia tidak tahu apa isi perbincangan Bos besar dan Ben kelmarin. Setelah makan mereka dikunci di dalam bilik atas ini. Dan dia masih teringat juga bicara Ben tadi. Jual? dan ia benar-benar menghantui Mamat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan