28 Jun 2011


Tangisku jauh dalam selimut hati,
Menghiba dalam pelukan sepi,
Merintih dalam diam,
Sembunyi rasa dalam kemelut rasa,
Yang perit merantai jiwa.
Tuhanku...
Manisnya ujian ini,
Mengingatkan aku agar merenung khilaf diri,
Mengajak aku muhasabah jati diri,
Mungkin sudah lamanya aku hidup,
Lalai dek pesona dunia.
Dan sedikit kau jentikku dengan secubit getir,
Agar aku sedar 
Sesungguhnya dunia ini perhiasan....

Denai lalu.

Lihat, lorong ini dihiasi gugur daun, bunga indah berserakan.Mentari malu-malu mecelah, jelas, serakan biasan cahayanya indah bagai kemilau emas. Dalam fikiranku, jauh dalam lipatan waktu, kenangan itu tetap indah dicelah pohon, di laluan denai , disetiap helai gugur daun. Lantas setiap detik yang berlalu, kulukis setiap jeda waktu, kemas dalam kotak ingatan. Biar, musim akan berlalu, lorong sunyi akan riuh, daunan gugur akan berganti putik baru, dahan segar akan rapuh. Yang pasti di sini, kemas dalam kotak ini, lukisannya pasti sama, pasti segar dan malar.

Jika dapat kuputar waktu.

Andai dapat ku putarkan masa untuk kembali menemui silamku, barangkali aku tidak mahu. Ya aku tidak mahu. Kerana bagiku, masa lalu itulah yang telah menjadikan aku hari ini. Aku tidak pernah bencikan masa lalu, lantas untuk apa aku ingin kembali?. Masa lalu biarkan ia pergi, jauh tinggal dalam relung waktu, masa hadapan, ah...aku tidak pernah mengimpikan masa hadapan. Kerana masa hadapan itu sesuatu yang tiada siapa yang mampu meneka. Aku teringat satu bicara sufi. Perkara paling jauh yang dan jarak yang paling jauh, adalah masa lalu, perkara yang belum pasti namun kerap dikejar dan dimimpi adalah masa hadapan. Sedangkan yang kerap sekali disia-siakan adalah masa yang sedang dilalui. Manusia ini paling suka mengangankan sesuatu yang menjadi rahsia masa, sedangkan mereka kerap-kerap tidur dalam pelukan dusta. Sesungguhnya benarlah 'demi masa sesungguhnya manusia itu senantiasa dalam kerugian'. Renung-renungkan....

27 Jun 2011

Laluan ini pedih dan panjang sekali likunya. Ada ketika dalam kesendirian merenung bunga waktu, aku mengharapkan ia terus kembang dan indah bersamaku seiring waktu. Namun jalan ini tidak pernah menjanjikan mimpi terindah buatku selalu. Dalam mencari diri yang sesekali tenggelam dalam kabut kehidupan, aku sedar musim sering berubah. Cerminku tidak pernah menjanjikan biasan mulus selalu. Kerana awan kehidupan yang sedang berarak mengekoriku, sering punya waktu-waktunya untuk gerimis selalu. Namun aku tahu tidak selamanya awanku akan kelabu, kerana tiap kali pun, pasti pelangi akan tetap menemaniku.